WARKAH PEMBUKAAN KATA


Assalamu'alaikum wm. wbr.

Segala puji dikhususkan hanya pada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-nya, sama ada nikmat-nikmat yang diketahui atau pun nikmat yang tidak diketahui. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan kami nabi muhammad s.a.w dan juga ke atas ahli keluarga banginda yang mulia .


Dalam menulis entri ini sebagai seorang hamba yang amat lemah dan dhaif dan sangat mermelukan hidayah-Nya, saya berlindung kepada Allah daripada dihampiri oleh perasaan "riya", ujub atau bangga diri. Namun, bagi mensyukuri nikmat illahi , ingin saya berkongsi sedikit pengetahuan yang saya kutip dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan pengalaman peibadi, dikumpulkan semuanya disini bagi manfaat kepada para pembaca.


Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca. Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendegar. Kita itu tidak digalakkan untuk berfikir. Bayangkan berapa juta pembohongan dan kelentongan hantu dan polong yang telah dihamburkan kepada kita semasa kita membesar. Cerita makhluk halus hantu dan puaka semuanya didodoikan kepada anak kecil. Tidak cukup dengan ini, kita ditakut-takutkan. Bermula dengan hantu, kemudian dengan polis dan akhir sekali dengan api neraka.


Anak kecil tidak memiliki peluang untuk mencerna pemikiran.


Kalau anak kecil banyak bertanya, dia akan dianggap kasar – kurang ajar dan tidak sopan. Sebenarnya mendengar tanpa bertanya adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan ke dalam susuk jiwa kita.


Membuang dan membakul sampahkan segala karut-marut yang bersidai dalam otak kita.

Mendewasa ertinya meninggalkan budaya suka mendengar yang kita terima semasa kanak-kanak. Mendewasa ertinya memulakan budaya suka membaca dan menyelidik. Melopong mendengar – masuk lalat, keluar langau - tanpa melakukan pembacaan, rujukan dan kajian akan menjadikan fikrah seseorang bonsai.


 Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati.


Dalam suasana politik kita, budaya melopong mendengar ini telah diperkuatkan pula dengan budaya ceramah yang telah menjadi darah daging budaya politik tanah air kita. Ceramah sebenarnya proses monolog – jalan sehala – apabila si pendengar tidak ada peluang untuk bertanya kembali.


Pelbagai sumpah seranah masuk ke telinga kita. Sama seperti kita di zaman kanak-kanak - tidak ada langsung peluang untuk menapis atau bertanya.


Sayugia diingatkan, ceramah ini hanya boleh berfungsi dengan baik sebagai satu senjata untuk memanaskan rapat dengan pidato yang hebat. Pidato bertujuan untuk menaikan semangat, untuk melanggar musuh. Ceramah dan pidato berperanan untuk membakar semangat. Ceramah tidak menjanjikan penemuan ilmu atau pengembangan akal.


Justeru ceramah satu hala amat berbahaya kerana berkemungkinan ia menjadi ejen pembodohan. Tidak kira siapa si penceramah – berjubah atau berdastar – monolog sehala tidak mengasah fikrah. Beribu-ribu rakyat yang datang melopong mendengar labun si penceramah tidak mungkin akan melahirkan pemula atau perobek  bingkai budaya yang mengongkong.


 Tetapi apabila aktivis politik yang masih muda menjadi mamai, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam badan politik tanah air kita ini. Ciri utama yang dapat membuktikan betapa bonsainya fikrah aktivis politik kita hari ini ialah kegagalan mereka untuk mengenali siapa musuh utama dan siapa kawan. Siapa kawan utama dan siapa pula kawan sampingan. Siapa kawan sepanjang perjuangan dan siapa kawan sementara. Siapa musuh dan seteru abadi dan siapa pula musuh sementara.


Mengenal musuh dan mengenal kawan adalah wajib dalam ilmu politik. Asas ilmu politik juga mewajibkan kita mengenal kontradiksi sosial. Mengenal kontradiksi sosial manusia adalah ilmu awal wahid sebelum membuat apa-apa kerja politik.


Gagal mengenal kontradisi sosial, maka segala kerja politik adalah kerja mencurahkan teh tarik ke batu nesan.


Kontradiksi adalah pertembungan atau pertentangan dua unsur untuk melahirkan unsur ketiga. Kontradiksi adalah ibu segala-galanya dalam dunia ini. Dunia ini berputar dan bergerak kerana kontradiksi. Manusia wujud kerana kontradiksi. Politik wujud kerana kontradiksi. Wujud tidak akan wujud kalau tidak wujud kontradiksi.


Kerja politik ialah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan kontradiksi. Justeru dalam kerja politik, wajib diketahui apa dia kontradiksi utama dan apa dia kontradiksi sampingan. Mana yang primer dan mana juga sekunder.


1 comment:

  1. How to play games on my phone? | VGC - YouTube
    It is very easy to play video games with your friends on our online casino. You can then deposit money to your account with your username youtube to mp4 or password.

    ReplyDelete