800 masyarakat Cina, Siam terima sumbangan

TANAH MERAH 23 Feb. - Seramai 800 warga emas serta ibu tunggal dari
kaum Cina dan Siam di daerah ini menerima penghargaan daripada UMNO
Bahagian Tanah Merah sempena sambutan Tahun Baharu Cina apabila setiap
seorang menerima sumbangan dan angpau sebanyak RM100.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagaian Tanah Merah,
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina
dan penyampaian sumbangan anjuran MCA Tanah Merah di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Cheng, di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, Ikmal Hisham turut menyampaikan sumbangan
RM30,000 untuk membaik pulih dewan masyarakat yang baharu disiapkan
serta sumbangan RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC
Yok Cheng.
Pengerusi MCA Tanah Merah, Yap Kim Chan ketika berucap pada majlis
itu terharu dengan sokongan berterusan dan bantuan UMNO bahagian yang
diberikan kepada masyarakat Cina dan Siam di daerah itu. "Kami ucapkan terima kasih kerana sumbangan angpau diberi kepada
orang Cina dan Siam selama empat tahun berturut-turut. UMNO Tanah Merah
banyak membantu termasuk ramai anak-anak kami berjaya melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi termasuk matrikulasi di seluruh
negara," katanya.
Pada majlis tersebut, Ikmal Hisham turut mengadakan dialog untuk
mendengar sendiri permasalahan dan bantuan yang diperlukan oleh
kedua-dua masyarakat itu. Dalam dialog tersebut, beliau memberi kelulusan serta-merta kepada
penduduk yang memohon bantuan zink dan membaiki rumah selain berjanji
cuba menyelesaikan beberapa permohonan yang membabitkan kos tinggi.
No comments:
Post a Comment